KUALA LUMPUR: Tiga puluh peratus daripada 300 pemandu bas didapati mengalami masalah kesukaran tidur malam, dengan lapan peratus kronik, dan keadaan ini membimbangkan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada keselamatan pemanduan mereka.Presiden Pertubuhan Penyakit Tidur Malaysia (SDSM), Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, statistik itu diperolehi dalam kajian yang dijalankan oleh badan itu dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) baru-baru ini. "Kajian itu dilakukan ke atas 300 pemandu bas dari lima syarikat pengangkutan di seluruh negara, dan lebih mengejutkan apabila lapan peratus berada di peringkat teruk," katanya kepada Bernama pada majlis pertemuan saintifik - Masalah Tidur Masyarakat Malaysia- Ke arah Tidur yang Lebih Sihat di Malaysia'di sini, Sabtu.Pensyarah Kanan dan pakar psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu berkata, golongan yang sukar tidur malam dan mengalami gangguan tidur teruk termasuk 'sleep apnea' (nafas terhenti ketika tidur), berisiko untuk terlibat dalam kemalangan industri mahupun jalan raya.Untuk itu, satu usaha perlu dilakukan bagi memastikan pemandu yang mengalami masalah kesukaran tidur ini diberi rawatan untuk mengatasi masalah yang dihadapi memandangkan mereka perlu memandu dalam tempoh yang panjang, katanya."Masalah gangguan tidur terutamanya insomnia berpanjangan dan sleep apnea didapati kemungkinan menjadi antara punca kemalangan serta kecederaan serius kerana mereka boleh tertidur di siang hari termasuk ketika memandu dan ia amat membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.Muhammad Muhsin berkata, sebagai langkah pertama, pemandu bas dan lori seharusnya diwajibkan membuat pemeriksaan kesihatan untuk memastikan sama ada mereka mengalami gangguan tidur terutamanya sleep apnea."Mereka yang disahkan menghidapi sleep apnea atau gangguan tidur di peringkat yang teruk perlu dirawat dahulu hingga pulih sebelum dibenarkan untuk memandu kembali," katanya.Beliau juga berkata, kajian salah seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merupakan anggota pertubuhan itu, mendapati lebih daripada tujuh peratus rakyat Malaysia mengalami masalah berkaitan tidur."Namun, kami percaya angkanya sangat tinggi daripada ini kerana ramai mereka di luar sana yang tidak pernah membuat rawatan dan menemui pakar kerana menganggap masalah itu remeh dan bukan penyakit berbahaya," katanya.Beliau berkata, penyakit gangguan tidur ini bukan sahaja memberi kesan kepada produktiviti dan ekonomi kerana menyebabkan ketidakhadiran, kelembapan dan kurang tumpuan terhadap kerja, tetapi juga pertambahan berat badan, diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung dan juga saluran pernafasan sumbat, katanya.Katanya, tidur mempunyai kesan pemulihan terhadap proses fizikal dan mental malah tidur juga adalah komponen penting dalam kesihatan fizikal dan mental yang baik, di samping penting bagi fungsi kognitif yang optimum. - BERNAMA