suria

Ahli-Ahli MCA Naik Semangat Dengan Debat Dr Chua - Lim

KUALA LUMPUR: Debat antara presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah banyak merangsang semangat ahli-ahli MCA ketika mereka melakukan persediaan menghadapi pilihan raya umum.

Ramai pemimpin dan ahli MCA gembira bahawa presiden parti mereka telah mampu menampilkan persembahan dan hujahan yang bernas semasa perdebatan itu yang disiarkan secara langsung oleh tekevisyen berbayar, Astro.

"Anda boleh melihat air muka ahli-ahli MCA dan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) lain. Mereka bersemangat tinggi selepas debat itu. Ini adalah sesuatu yang baru untuk MCA," kata ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker.

"Ianya amat jarang sekali pemimpin MCA itu menghadapi keadaan sukar dengan penuh yakin dan berazam. Ia meningkatkan semangat dan debat ini telah mengembalikan keyakinan diri buat semua penyokong MCA," katanya.

Ti berkata pendekatan Dr Chua dalam membentangkan hujah politik yang bijak telah membolehkan beliau memperoleh lebih banyak sokongan di kalangan hadirin berbanding Lim. Beliau percaya hasilnya disenangi oleh ahli-ahli parti dan pemimpin parti komponen BN yang lain.

Sentimen beliau turut dikongsi oleh Timbalan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Loh Chew Jun yang berkata ahli-ahli parti itu 'meluap-luap dengan keseronokan' berikutan debat itu sudah jelas dianggap sebagai kemenangan moral kepada parti.

"Selama ini kami kalah dalam perjuangan persepsi. Menerusi debat ini, sekurang-kurangnya kami mampu mengembalikan semula beberapa perkara penting. Sudah pasti, debat ini telah membantu mengembalikan semula keyakinan kami," katanya.

Katanya Dr Chua boleh merasai dan mendedahkan taktik 'penipuan' yang digunapakai oleh DAP semasa debat itu dengan menonjolkan pencapaian mereka di Pulau Pinang manakala gagal mempengaruhi negeri-negeri lain di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

Tokoh veteran MCA dan Ketua Publisiti BN Selangor, Datuk Tap Pian Hon turut gembira bahawa debat itu telah mengembalikan sedikit maruah kepada ahli-ahli MCA.

"Publisiti dari debat itu adalah baik untuk parti khususnya apabila anda meraih mata. Bukan sahaja televisyen tetapi liputan penuh akhbar-akhbar Cina akan meletakkan MCA di pandangan yang positif," jelasnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Ditemui Lemas Di Lombong

Artikel Lain