suria

Zaid Ibrahim Didakwa Bukan Lagi Ketua Parti Kita

KOTA BAHARU: Anggota Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) pada Sabtu sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim selaku ketua parti itu berkuatkuasa hari ini dan mengumumkan pelantikan Pengerusi Kita Negeri Kedah, Zamil Ibrahim sebagai presiden yang baru.

Pengerusi Perhubungan Parti Kita Kelantan Abdullah Sani Musa berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa parti itu yang diadakan di sini, Sabtu.

"Kami juga menolak serta tidak mengiktiraf pemecatan dua pemimpin parti Kita iaitu Pengerusi Parti Kita Kedah, Zamil Ibrahim dan Pengerusi Kita Pulau Pinang Tan Tee Beng yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal kerana jawatankuasa terbabit menipu dan melanggar perlembagaan parti.

"Kami sebulat suara memilih Zamil Ibrahim untuk mengambil alih jawatan ketua parti yang kini dinamakan sebagai Presiden dan beliau akan dibantu Pengerusi Kita Sabah Datuk Pangeran Othman Rauf dan bekas presiden AKIM, Zakaria Salleh," katanya pada satu sidang media selepas mesyuarat itu.

Pada 2 Februari lalu, Zaid dilaporkan membuat kenyataan mahu membubarkan parti itu serta mendakwa penubuhan Kita adalah satu kesilapan.

Sementara itu, Zamil berkata parti berkenaan akan melakukan satu rombakan jawatankuasa di peringkat pusat dan negeri dalam masa terdekat di samping memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13.

"Kita akan bertanding di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang difikirkan sesuai untuk Kita bertanding," katanya.

Zamil berkata beliau akan menghantar laporan kepada beberapa pihak, termasuk Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung apa yang berlaku dalam Kita sejak sebulan lalu.

Katanya keahlian parti itu akan dikemas kini dan semua urusan parti itu kini beroperasi di Sungai Petani, Kedah. - BERNAMA

Artikel Lain