suria

Wanita Indonesia Guna Pasport Palsu Antara Ditahan Dalam Ops

KAJANG: Seorang wanita rakyat Indonesia yang menggunakan pasport palsu adalah antara yang ditahan dalam Ops penguatkuasaan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) di sekitar Kajang, di sini Sabtu.

Wanita berumur 32 tahun itu antara 82 yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Putrajaya bermula pukul 12.30 tengah hari dan berakhir dua jam kemudian.

Ketua Unit Tindakan Jabatan Imigresen Abd Malik Bujang berkata seramai 569 orang diperiksa dan daripada jumlah itu 82 ditahan kerana pelbagai kesalahan seperti tiada pasport, tinggal lebih masa serta menggunakan pasport palsu.

"Seramai 47 rakyat Indonesia termasuk 19 wanita ditahan, manakala yang lain hanya lelaki iaitu Bangladesh (10), Myanmar (11), Nepal (10), India (dua), dan Nigeria dan Pakistan masing-masing seorang," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi.

Kesemua mereka dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

Sementara itu wanita warga Indonesia terbabit ketika ditanya berhubung pasport palsu yang dimiliki itu berkata dia mendapatnya daripada sebuah ejen di Cheras, di sini dengan bayaran RM4,000.

"Ejen itu kata pasport ini boleh digunakan dan tidak ada sebarang masalah," katanya sambil memberitahu dia mengenali ejen itu melalui rakannya.

Dia yang bekerja sebagai tukang sapu telah menetap di sini sejak tahun 2007. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain