SHAH ALAM: Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri pada Khamis dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan RM80,000 ketika menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, empat tahun lepas.Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM50,000 atau penjara setahun jika Abdul Rahman gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama. Hakim mengarahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.Abdul Rahman, 47, diperintah membela diri Jun tahun lepas atas tuduhan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas. Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Januari dan 12 Februari, 2008.Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - BERNAMA