SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor mahu supaya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawab dakwaan Pengarang portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bahawa kerajaan PKR negeri ini memberi projek secara rundingan terus dan bukan tender sejak pembangkang memerintah negeri ini pada 2008.Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata Abdul Khalid perlu menjelaskan dakwaan itu bagi membuktikan janji yang dibuat olehnya pada April 2008 untuk menghapuskan pemberian tender secara runding terus kepada kontraktor Bumiputera bagi mengelak monopoli pihak tertentu adalah ditepati. "Abdul Khalid perlu buktikan dakwaan ini jika tidak beliau 'cakap tidak serupa bikin'. Perkara itu dinyatakan Abdul Khalid selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-22 gabungan Iktisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor di Shah Alam pada April 2008."Pada majlis itu Abdul Khalid pernah berjanji untuk menghapuskan pemberian tender secara runding terus kepada kontraktor Bumiputera dan jika ia perlu ini bermakna beliau melanggar aku janji yang dibuatnya sendiri," kata Mohd Zain pada sidang akhbar di sini, Selasa.Mohd Zin mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik pendedahan Raja Petra bahawa kerajaan PKR Selangor memberi projek secara rundingan terus dan bukan tender bernilai lebih RM250 juta sejak pembangkang memerintah negeri itu.Dalam laporan itu, Raja Petra berkata jika kerajaan negeri menafikan dakwaan berkenaan, beliau akan menyiarkan butiran kontrak seperti nombor dan tarikh kontrak serta nama syarikat terbabit dalam blognya atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Sementara itu, Mohd Zin yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata kenyataan Abdul Khalid bahawa pakatan pembangkang mampu memenangi majoriti dua pertiga termasuk memenangi 10 kerusi baru pada pilihan raya umum akan datang adalah spekulasi untuk menyedapkan hati mereka.Beliau berkata pakatan pembangkang gagal mencapai kata sepakat dalam pelbagai isu di negeri ini sehingga sanggup memecat anggota mereka sendiri selain mempunyai cita-cita yang berbeza antara satu parti dengan yang lain."Mimpi mereka berbeza-beza, sebab itu banyak benda mereka tidak sepakat serta timbul masalah. Hal dalaman mereka juga tidak dapat diselesaikan," katanya.Katanya, BN akan terus berusaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di negeri ini terutamanya dalam menyemarakkan semangat 1Malaysia dan bantuan kepada rakyat seperti yang sedang giat dilakukan. BERNAMA