suria

1,593 Premis Jualan Makanan Sertai MR1M Sejak Dilancarkan Julai Lepas

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,593 premis menjual makanan menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), sejak ia dilancarkan 7 Julai lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ia termasuk 127 kafe di 48 Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh negara, dan menurutnya kerajaan mensasarkan 3,000 premis menyertai pogram itu tahun ini.

Katanya program MR1M merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, yang menjadi antara sasaran di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan selaras dengan gagasan 1Malaysia, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang bagi menangani kesan kenaikan harga pelbagai barangan dan juga makanan demi kesejahteraan rakyat," katanya semasa melancarkan Program MR1M Carrefour, di ruang jualan makanan pasar raya besar itu di sini, Khamis.

MR1M merupakan inisiaif kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan memperkenalkan menu sarapan pagi dan makan tengah hari pada harga paling minimum tetapi berkualiti dan berkhasiat dengan kerjasama pengusaha premis makanan seluruh negara.

Rohani seterusnya memuji langkah Carrefour yang melaksanakan kempen 'Karnival', di mana setiap hari mulai esok hingga 10 April, akan menyaksikan pasar raya itu menawarkan satu barangan pengguna yang diberikan potongan harga istimewa.

Bagi hari pertama kempen itu esok, Carrefour menawarkan ayam beserta kepala dan kaki pada harga hanya RM2.90 sekilogram di semua 26 cawangan di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain