KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd akan memperkenal penerbangan harian tambahan dalam laluan Kuala Lumpur-Vientiane, mulai 27 Mei, untuk meningkatkan hubungan udara ke Laos.Dengan penerbangan tambahan ini, kekerapan bagi laluan itu kini meningkat daripada tiga kali seminggu - Selasa, Khamis dan Sabtu - kepada tujuh penerbangan seminggu, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, Jumaat. "Penumpang kini boleh menikmati lebih kemudahan dan pilihan masa penerbangan ke Vientiane dari Kuala Lumpur," kata Ketua Komersial Serantau, Kathleen Tan.Syarikat penerbangan kos rendah itu menawarkan tambang promosi terangkum semua sebanyak RM139 bagi perjalanan sehala ke Vientiane, dan hanya sah bagi penerbangan tambahan pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.Promosi istimewa itu dibuka untuk tempahan mulai hari ini hingga 1 April bagi tempoh perjalanan dari 27 Mei hingga 30 September, 2012. - BERNAMA