GEORGE TOWN: Polis menahan 12 pendatang tanpa izin dalam 'Ops Rantau' di sekitar kawasan Lembah Permai, Tanjung Tokong dekat sini awal pagi Ahad.Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata seramai 107 warganegara asing telah diperiksa sepanjang operasi yang berakhir pada pukul 3 pagi itu dan 12 daripadanya didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Katanya, sebanyak 20 anggota dan pegawai dari Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut membuat serbuan di situ yang merupakan antara kawasan memiliki populasi warga asing yang ramai di bandar ini."Operasi itu dijalankan selaras dengan berakhirnya program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang berakhir baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini Ahad.Gan berkata kesemua lelaki yang ditahan terdiri daripada enam orang warga Bangladesh, tiga warga Indonesia, dua warga Myanmmar dan seorang warga Nepal.Beliau berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depo Tahanan Imigresen di Juru untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA