suria

YPPB Tawarkan Biasiswa Kepada Pelajar Cemerlang

PUTRAJAYA: Majlis Tindakan Agenda Bumiputera bersetuju dengan cadangan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) untuk memberikan biasiswa kepada pelajar cemerlang dari keluarga berpendapatan kurang RM3,000. Mengumumkan demikian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata mesyuarat majlis itu hari ini memutuskan bahawa pemberian biasiswa untuk tempoh lima tahun itu bagi membolehkan pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran di peringkat asasi (foundation), A-Level, International Baccalaurate dan Ijazah.

"Sebanyak 8,000 permohonan telah diterima buat masa ini dan setelah ditapis untuk fasa pertama sebanyak 225 pelajar akan ditawarkan biasiswa tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Najib berkata pada mesyuarat itu keputusan juga dibuat agar YPPB memulakan satu program baru sebagai "signature" keduanya iaitu Program Peneraju Profesional Akauntan.

"Program itu bertujuan untuk menambah lebih banyak lagi bilangan Akauntan Bertauliah Bumiputera," katanya.

Beliau berkata program itu adalah program jalinan kerjasama di antara YPPB dengan Mara serta melibatkan firma-firma akauntan terkemuka di Malaysia seperti Pricewaterhouse Coopers dan Ernst & Young. "Melalui program itu bumiputera yang ada kelulusan dalam bidang accountancy di peringkat ijazah boleh dinaiktarafkan (upgrade) sebagai mereka yang mempunyai kelulusan Iktisas atau profesional," katanya.

Selain itu, Najib berkata sebagai satu insentif kepada sektor korporat, swasta serta individu yang menyumbang dana kepada YPPB, mereka akan diberikan pengecualian cukai pendapatan bagi sumbangan secara tunai dan sumbangan manfaat. -BERNAMA

Artikel Lain