KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga mengakui gagal mengawal emosi peserta demonstrasi Bersih 3.0 hingga memaksa polis mengambil tindakan menembak meriam air dan gas pemedih mata.Sambil melahirkan rasa kecewa, Ambiga bagaimanapun menegaskan tindakan provokasi sebilangan penyokong Bersih hingga bertindak merempuh penghadang polis di Dataran Merdeka bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan pihaknya. "Tindakan merempuh dan melanggar penghadang polis di Dataran Merdeka bukan sesuatu yang kita sokong."Sejak daripada awal kita sudah berjanji untuk tidak melanggar sekatan. Saya percaya akibat daripada itulah pihak polis mengambil tindakan menembak meriam air dan gas pemedih mata," katanya pada sidang media di KL Sentral di sini, Sabtu.Diminta mengulas mengenai kemungkinan kegagalangannya mengawal emosi peserta demonstrasi akan dijadikan alasan pihak berkuasa untuk menghalang perhimpunan yang sama pada masa akan datang, Ambiga berkata pihak polis perlu menyiasat secara terpeinci mengenai insiden berkenaan."Bagi sesiapa yang melanggar sekatan, polis perlu lakukan siasatan penuh dan mereka patut berhadapan dengan tindakan undang-undang. Kami akan beri kerjasama penuh bagi mencari siapakah punca kejadian merempuh penghadang polis."Itu bukan sesuatu yang kami galakkan, ia bertentangan dengan apa yang kami nak lakukan...kami tak tahu apa yang buatkan mereka melanggar penghadang."Kami cuba lakukan yang terbaik untuk kawal kehadiran penyokong yang ramai."Ditanya mengenai tindakan peserta demonstrasi melaung sorakan menyokong parti parti politik tertentu khususnya pembangkang, Ambiga sekali lagi mengakui ia merupakan perkara yang sukar dikawal."Pada kami kata tak ada laungan anti atau pro parti politik. Kita telah keluarkan garis panduan bahawa tak ada sesiapa boleh laungkan kenyataan anti atau pro mana-mana parti politik."Tapi kalau mereka buat, tak ada yang boleh kita lakukan. Kalau saya sendiri dengar, saya akan minta mereka hentikan, tapi malangnya saya tak dengar," katanya.