suria

47 Wanita Warga Asing Disyaki GRO Ditahan Jabatan Imigresen

SEREMBAN: Seramai 47 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pegawai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam tiga serbuan berasingan oleh Jabatan Imigresen Negeri di tiga buah premis hiburan di sekitar bandar ini di sini malam Rabu.

Pengarah jabatan itu, Faizal Fazri Othman berkata, wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun itu terdiri daripada 27 warga China dan 20 warga Vietnam.

"Lokasi pertama iaitu di sebuah premis di Taman AST, kita telah menahan lapan orang wanita yang disyaki GRO terdiri daripada lima warga Vietnam dan tiga lagi warga China. Lapan lagi warga China ditahan di lokasi kedua di kawasan yang sama.

"Lokasi ketiga iaitu di sebuah premis hiburan di Rasah Jaya kita menahan 31 warga asing terdiri daripada 16 warga China dan 15 warga Vietnam," katanya kepada pemberita selepas operasi itu, di sini, Khamis.

Katanya, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai peraturan imigresen seperti menyalahgunakan pas lawatan sosial, tidak memiliki dokumen perjalanan dan dokumen tidak sah.

Faizal Fazri berkata, kesemua wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 39(b) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Lenggeng, dekat sini untuk tindakan lanjut.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan hasil maklumat orang ramai itu, pihaknya turut menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun yang disyaki penjaga kepada premis-premis terbabit.

"Mereka ini kita keluarkan saman dan diperintah untuk hadir pejabat untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, operasi yang bermula pada pukul 10 malam dan berakhir pada pukul 1 pagi tadi melibatkan seramai 35 anggota. - BERNAMA

Artikel Lain