PUTRAJAYA: Sejumlah 580 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afrika telah ditahan di bawah penguatkuasaan Program 6P sejak 20 Oktober tahun lalu hingga Rabu, dengan Nigeria mencatatkan statistik tertinggi iaitu seramai 530 orang.Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata ini diikuti oleh Uganda sebanyak 22 orang, Botswana (enam), empat masing-masing bagi Sudan, Zimbabwe dan Cameroon, Zambia (dua) dan masing-masing satu bagi D'Ivory Coast, Eritheria, Guinea dan Algeria. "Sejumlah 100,109 PATI telah diperiksa melalui 4,773 operasi melibatkan 25,802 anggota penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dibantu oleh agensi-agensi lain di bawah kementerian di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.Abdul Rahim berkata menerusi siri operasi tersebut, seramai 15,384 PATI dan 364 majikan telah ditangkap dan dikenakan pelbagai tindakan iaitu 64 majikan dan 2,412 PATI telah didakwa di mahkamah, 128 majikan dan 1,020 PATI dikenakan kompaun dan 2,359 PATI telah diusir keluar.Beliau berkata kes bagi 36 majikan dan 4,205 PATI masih dalam siasatan, manakala baki 136 majikan dan 5,234 PATI telah dibebaskan berikutan tiada kes manakala 154 PATI adalah mangsa pemerdagangan manusia.Beliau berkata Terengganu mendahului jumlah bilangan penguatkuasaan yang dijalankan dengan 774 operasi, diikuti Perak (721), Negeri Sembilan (414), Johor (385), Pulau Pinang (355), Sabah (344) dan Selangor (320).KDN juga ingin mengingatkan orang ramai terutamanya para majikan supaya memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai permit kerja serta dokumen yang sah dan operasi penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke masa demi untuk menangani masalah PATI di negara ini, katanya. - BERNAMA