KUALA LUMPUR: Seramai 2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara atas pelbagai kesalahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Isnin.Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah menyeludup dadah, membunuh, memalsukan kad kredit, kesalahan komersial, mencuri, kesalahan imigresen, menipu serta memalsukan dokumen, dan penyeludupan manusia. "Antara negara yang mempunyai tahanan rakyat Malaysia ialah Singapura 1,096 orang, Thailand (444), China (231), Indonesia (148), Taiwan (137), Australia (77), Sepanyol (47), Kuwait (33), Vietnam (29), dan Perancis seramai 25 orang," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin.Kohilan berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat Malaysia yang telah ditahan di luar negara, namun tidak akan mencampuri urusan dalaman negara tersebut."Kementerian akan berusaha melindungi hak rakyat kita sepertimana termaktub di bawah undang-undang negara tersebut dan juga undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963," katanya.Menjawab soalan tambahan anggota yang sama mengenai sama ada terdapat undang-undang yang membenarkan banduan rakyat Malaysia untuk dibawa pulang, Kohilan berkata kementerian sedang merangka mekanisme tersebut.Beliau berkata belum ada undang-undang yang membenarkan banduan rakyat Malaysia dibawa pulang, namun kementerian sedang mengkaji dan menyediakan protokol-protokol serta mekanisme pelaksanaan bagi membawa pulang banduan menjalani hukuman di negara ini mengikut Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000."Satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Penjara untuk menyediakan undang-undang Akta Pemindahan Antarabangsa bagi membawa pulang rakyat yang ditahan di luar negara," katanya. - BERNAMA