KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata wartawan perlu mengambil kira keadaan masyarakat yang berbilang agama dan budaya di negara ini sebelum melontarkan sebarang teguran dan kritikan.Ini kerana, katanya tugas media dan wartawan bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada rakyat tetapi juga membantu masyarakat untuk membuat keputusan. "Media mempunyai fungsi sosial iaitu memupuk jati diri sesuatu bangsa itu sebagai warga Malaysia. "Biarlah maklumat yang disebarkan menyatukan rakyat Malaysia, bukan sebaliknya memecahkan mereka kepada kelompok yang meragui antara satu sama lain," katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara di Hotel Royale Bintang Damansara. Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya. Pada majlis itu, Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd Datuk A.Kadir Jasin diumumkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2011.Muhyiddin berkata sebagai golongan yang berpengaruh, wartawan perlu menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan negara terus terpelihara.Untuk itu, katanya wartawan harus menggunakan kemahiran mereka untuk membantu membangunkan negara yang makmur, moden, progresif dan bersatu padu.Muhyiddin berkata kerajaan juga sentiasa membantu mewujudkan iklim yang kondusif bagi membolehkan wartawan dan media terus memainkan peranan dalam menyuburkan demokrasi negara."Anggapan bahawa kerajaan mengongkong atau menyekat kebebasan media adalah tidak benar sama sekali."Sekiranya tidak ada kebebasan media, bagaimana mungkin boleh wujud banyak portal dan akhbar pembangkang yang sebahagian besarnya mengkritik, memutarbelitkan kebenaran dan menghentam kerajaan dengan menyiarkan laporan tanpa fakta sahih dan betul?" katanya. Malah, katanya kerajaan sedar perlunya media diberi kebebasan supaya mereka boleh memainkan peranan melapor dan mengetengahkan permasalahan serta pemikiran rakyat."Begitu juga peranan sebagai penyemak dan menegur mana-mana dasar kerajaan yang dianggap bertentangan dengan kepentingan masyarakat. Kerajaan sentiasa bersikap terbuka terhadap kritikan dan teguran," katanya.Timbalan Perdana Menteri itu berkata kebebasan akhbar datang dengan tanggungjawab memastikan setiap berita mempunyai nilai dan mematuhi etika.Beliau berkata dalam era internet kini, sesiapa saja boleh menjadi wartawan warga.Tetapi, katanya wartawan kategori itu tidak sama dengan wartawan profesional iaitu mereka yang bekerja sepenuh masa dalam media cetak, elektronik dan portal.Katanya wartawan profesional perlu berpegang teguh kepada etika kewartawanan dan menulis berdasarkan fakta yang benar sebelum menyebarkannya kepada rakyat."Jika kita menjunjung prinsip-prinsip kewartawanan yang mulia, sentiasa profesional dan berkreadibiliti, profesion wartawan akan terus dihormati dan disanjung," katanya. -BERNAMA