suria

Warga Pakistan Dipenjara 8 Bulan Cabul Suri Rumah

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan warga Pakistan dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang suri rumah berumur 55 tahun, bulan lepas.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan Atif Shahzad, 29, menjalani hukuman itu secara serentak mulai dari tarikh dia ditangkap pada 29 Jun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Atif Shahzad dipenjara enam bulan manakala bagi pertuduhan kedua, dia dipenjara lapan bulan kerana mencabul kehormatan wanita tempatan itu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tapak projek lebuh raya, belakang Blok 13, Flat Sri Johor, Cheras di sini antara 9.50 malam dan 10.10 malam pada 28 Jun lepas.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan mencabul wanita sama pada masa, tarikh dan tempat sama.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Majistret Erry Shahriman menetapkan 1 Ogos untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne manakala Atif Shahzad tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah lain, seorang pengurus pusat karaoke mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencabul seorang pelajar bawah umur pada Mei lepas.

A. Alexender, 28, didakwa mencabul kehormatan gadis berumur 16 tahun di Pusat Karaoke Song Box, Wangsa Walk Mall, Seksyen 5, Wangsa Maju, Sentul pada 4.30 petang, 30 Mei lalu.

Alexender juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu mengugut seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan kad pengenalan dan telefon bimbit kepada tertuduh pada masa, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar membenarkan dia diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Adilah. BERNAMA

Artikel Lain