JOHOR BAHARU: Polis Johor mengenalpasti 1,200 kamera litar tertutup (CCTV) milik syarikat perniagaan di negeri ini yang akan disaran sebagai perintis pelaksanaan Sistem Respon Bersepadu.Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata sistem bersepadu yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu bertujuan meningkatkan tahap keyakinan penduduk setempat, pelancong dan pelabur terhadap aspek keselamatan di tempat awam. "CCTV itu akan dihubungkan secara terus dengan pusat kawalan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian dan komunikasi dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan taklimat keselamatan bersama 50 pengurus pasar raya seluruh Johor, di sini, Selasa.Beliau berkata kos menghubungkan kabel CCTV itu perlu ditanggung oleh pemilik berkenaan dan perjanjian antara polis dengan mereka yang bersetuju dijangka ditandatangani 25 Ogos.Sebagai altenatif kepada pemilik yang tidak mahu menghubungkan CCTV mereka dengan polis, mereka akan dicadangkan menyimpan setiap imej yang dirakam dan menyerahkan kepada polis sekiranya berlaku sesuatu kejadian jenayah bagi membantu proses siasatan, katanya. Mohd Mokhtar berkata bagi mengatasi kejadian jenayah di pusat beli belah, polis akan membantu membuat penapisan pengambilan pengawal keselamatan.Beliau berkata pengambilan pengawal keselamatan khususnya yang melibatkan rakyat asing perlu ditapis bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan jenayah, kongsi gelap, dadah mahupun memiliki rekod jenayah."Bagi pemilik premis yang mengalami masalah kekurangan pengawal keselamatan, mereka boleh memohon kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang mendapat kelulusan dari kerajaan untuk menyediakan 942 orang polis bantuan," katanya.Mohd Mokhtar berkata sebagai langkah keselamatan lain, semua pemilik pusat beli belah disaran meningkatkan pemasangan CCTV di tempat letak kenderaan, mewujudkan pencahayaan yang baik di kawasan premis, menyediakan cermin keselamatan bagi memudahkan pelanggan melihat kehadiran pelaku jenayah dari belakang serta mengasingkan penempatan motosikal dan kereta bagi mengatasi kes kecurian.Beliau berkata pihaknya mewujudkan satu pasukan khas yang dianggotai unit Cawangan Khas, Narkotik, Bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memantau tahap keselamatan yang dilaksanakan setiap pemilik premis itu serta mengesan kelemahan yang masih ada untuk diperbaiki."Setakat ini, polis menerima maklum balas yang positif dari setiap pemilik pusat beli belah mengenai kerjasama dalam menangani kejadian jenayah di premis mereka."Hampir 100,000 pelancong memasuki negeri ini setiap hari dan kita mahu aspek keselamatan mereka terjamin," katanya. -BERNAMA