suria

Wanita Warga Emas Maut Kereta Dipandu Anak Terbabas Dalam Parit

KUANTAN: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta Proton Saga yang dipandu anak lelakinya terbabas ke dalam parit di Km17 Jalan Lanchang-Raub dekat Temerloh, petang Selasa.

Dalam kejadian pukul 4.20 petang itu, mangsa Salmiah Mukim Othman, 86, dari Kampung Tanjung Besar Benta, Kuala Lipis disahkan meninggal dunia pada 10.47 malam tadi akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata ketika kejadian mangsa bersama anak lelakinya berusia 59 tahun serta tiga lagi anggota keluarga mereka dalam perjalanan dari arah Raub menuju ke Temerloh.

"Ketika melalui satu selekoh, pemandu kereta hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit. Akibat itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah di beberapa anggota badan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Mohamed Fauzi berkata pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan sementara tiga lagi anggota keluarga mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain