suria

Anggota Polis Maut Rempuh Treler Di Nilai

SEREMBAN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler di Km279.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara sebelum susur keluar ke Plaza Tol Nilai, pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa Konstabel Mohammad Farid Abdullah, 26, yang bertugas di Balai Polis Pontian, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Pontian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak untuk menghadiri kuliah kerana sedang mengikuti pengajian jarak jauh di universiti berkenaan.

Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak sebuah treler yang rosak dan diletak di lorong kecemasan lalu melanggar belakang kenderaan berat yang membawa muatan beras itu.

"Ekoran pelanggaran itu motosikal mangsa tercampak kira-kira 15 meter dari tempat kemalangan dan mangsa yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat manakala punca kemalangan masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain