ALOR SETAR: Seramai 400 pekerja warga Bangladesh yang sedang bekerja di seluruh Kedah dan mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen yang memeras wang mereka, meminta pihak berkuasa tempatan campur tangan.Jurucakap pekerja itu, Sirajul Haque Kazi berkata mereka mendapatkan khidmat sebuah syarikat pembinaan di sini yang berjanji mendapatkan permit dan pekerjaan semasa kerajaan melancarkan Program 6P fasa kedua awal tahun ini. "Kami mencapai persetujuan dengan ejen tersebut yang meminta bayaran RM3,500 seorang dan menyerahkan pasport kami kepadanya. Kami juga membayar beliau wang pendahuluan RM3,000 setiap seorang."Baru-baru ini ejen tersebut memanggil kami tetapi menaikkan bayaran kepada RM4,200 dan enggan menyerahkan pasport kami jika permintaannya tidak ditunaikan," kata Sirajul kepada Bernama.Dia ditemui semasa mengadakan demonstrasi aman bersama kira-kira 50 rakannya di hadapan rumah ejen itu di Lorong Wan Mat Saman di sini, Ahad.Katanya kira-kira 200 rakannya yang tidak mahu menjadi buruan pihak berkuasa kerana boleh didakwa tinggal secara haram di negara ini terpaksa akur dengan permintaan ejen tersebut untuk mendapatkan kembali pasport dan permit kerja mereka.Sirajul berkata mereka tidak mampu membayar lebih kepada ejen tersebut kerana terpaksa mencari sendiri pekerjaan selain dibayar upah yang rendah kerana status (tidak ada pasport) yang boleh dieksploitasi oleh majikan."Saya merayu pihak berkuasa supaya campur tangan dan bantu kami menyelesaikan masalah ini. Kami datang secara sah untuk bekerja di negara ini antara lima dan 18 tahun. Ada yang telah berkahwin dengan penduduk tempatan dan mempunyai anak," rayu Sirajul.Katanya dia dan beberapa rakan membuat laporan di Balai Polis Alor Setar 25 Julai lepas supaya kes mereka dapat disiasat pihak berkuasa.Program 6P ialah satu mekanisme komprehensif melibatkan enam komponen yang dilaksanakan secara berperingkat iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran serta melibatkan pendaftaran biometrik setiap pendatang tanpa izin bagi mengelak berlakunya pemalsuan identiti dan dokumen. - BERNAMA