suria

Bandingkan BN Dengan PR Sebelum Mengundi - Dr Chua

IPOH: Pengundi digesa menganalisa dan membandingkan prestasi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat sebelum ke peti undi.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau yakin golongan muda khususnya dapat mengenalpasti yang benar dan yang salah memandangkan fakta telah terbuka luas untuk dihakimi oleh rakyat.

"Tolong jangan terpengaruh dengan apa yang ada dalam Facebook.

"Sebagai orang muda dan berpendidikan, anda tidak akan mudah percaya perkara seperti digembar-gemburkan oleh Pakatan," katanya ketika merasmikan pembukaan bersama konvensyen negeri Pemuda dan Wanita MCA Perak di sini, Ahad.

Dr Chua berkata, pembangkang telah menggunakan sepenuhnya medium baru untuk menyerang BN.

Beliau berkata terdapat komen untuk menyerang semua dan apa-apa yang dilakukan oleh BN walaupun sebenarnya komen hanya dibuat oleh dua atau tiga orang sahaja.

Dr Chua berkata pelbagai program transformasi sosio-ekonomi di negara ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghasilkan keputusan yang baik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Antara lain, pertumbuhan ekonomi negara tahun antara 4 peratus dan 4.5 peratus walaupun negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom telah menghadapi kemelesetan ekonomi, katanya.

Malaysis juga negara kelima paling digemari di Asia untuk pelabur asing, tambah Dr Chua.

Beliau mengingatkan bahawa dasar-dasar populis Pakatan jika mereka mengambil alih Putrajaya seperti pendapatan bulanan isi rumah minimum RM4,000, menghapuskan tol dan pinjaman PTPTN akan menelan belanja kira-kira RM210 bilion setahun.

Jumlah itu lebih kurang sama dengan hasil tahunan di negara ini, katanya, sambil menambah negara ini akan bankrap dalam tempoh dua tahun jika Pakatan mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Artikel Lain