suria

UPP Tahan 42 Pendatang Myanmar

KANGAR: Sejumlah 42 pendatang asing tanpa izin dari Myanmar, termasuk tiga kanak-kanak, ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) ketika bersembunyi dalam kawasan semak di ladang tebu Chuping dekat sini malam tadi dan awal Ahad.

Komander UPP kawasan Chuping, Asisten Superitendan Md Fawzie Aris berkata, kumpulan pertama yang berjumlah 38 orang ditahan kira-kira 8 malam Sabtu, manakala empat lagi pada 5.30 pagi Ahad.

Bercakap kepada pemberita di Kompleks UPP Chuping pada Ahad, beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki serta 14 perempuan berumur antara empat dan 50 tahun.

Md Fawzie berkata, beliau percaya walaupun ditahan secara berasingan, mereka memasuki negara ini dalam kumpulan yang sama dengan membolosi kawasan pagar sempadan, iaitu kira-kira empat kilometer dari lokasi tangkapan.

Beliau berkata, kemasukan mereka ke negara ini diuruskan seorang tekong darat yang kemudian melarikan diri setelah menyedari kehadiran UPP di ladang itu.

Sementara itu, salah wanita yang ditahan dan dikenali sebagai Thung Than mendakwa keperitan hidup di Myanmar menyebabkan dia tekad untuk ke negara ini.

Wanita berusia 22 tahun itu berkata dia ingin bertemu suaminya yang telah lama di sini bagi merubah kehidupan melarat di negara sendiri.

Bagaimanapun, hasrat untuk bertemu suami yang bertugas di sebuah ladang di negara ini terbantut apabila ditahan UPP.

Mereka dibawa ke Kompleks UPP Chuping sebelum dirujuk kepada Imigresen untuk disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain