suria

Dua Beranak Maut Dalam Nahas Di Pekan

PEKAN: Dua beranak maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah kenderaan di Kilometer 20, Jalan Pekan–Nenasi tengah hari Ahad.

Mangsa, Khairul Azhar Hashim, 36, dari Ulu Batu 4, Temerloh mati di tempat kejadian manakala anak lelakinya, Muhammad Amiruddin, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, dalam kejadian 1.50 petang itu, mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Viva, dalam perjalanan dari arah Pekan menuju Rompin.

"Sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu Proton Perdana yang datang dari arah Rompin menghala ke Pekan, tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan mangsa.

"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara anaknya yang dibawa ke Hospital Pekan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu kereta Proton Perdana terbabit hanya cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Pekan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain