suria

Individu Kibar Bendera Dakwa Sang Saka Malaya Layak Dikibar

PETALING JAYA: Individu yang bertanggungjawab mengibarkan 'bendera baru' pada ambang sambutan Merdeka malam Khamis lalu mendakwa bendera Sang Saka Malaya itu layak dikibar bagi memperingati nilai sejarah yang ada pada bendera tersebut.

Menerusi blog singaselatan.blogspot.com miliknya, individu berkenaan mengakui dia dan rakannya bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera tersebut di malam sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak mewakili mana-mana parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

"Kami tidak mewakili mana-mana parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang, kami mewakili golongan Anak Muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar jalur gemilang kepada Sang Saka Malaya, kerana bendera itu yang ditukarkan kepada jalur gemilang hari ini.

"Saya ingatkan penulisan ini bukanlah untuk mencari publisiti diri dan rakan-rakan tetapi penulisan ini adalah bertujuan memberi pencerahan umum kepada masyarakat akan tujuan asal kami mengibarkan panji keramat itu," kata individu itu dalam entri blognya.

Jelasnya, Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka yang menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu dan ramai yang tidak tahu akan kewujudan kesatuan terawal terlibat dalam menentang penjajah iaitu Kesatuan Melayu Malaya (KMM) yang ditubuhkan pada 1938.

"Disinilah bibit-bibit penentangan penjajah berlaku. Ditunjangi oleh Ibrahim Yaakob bertujuan untuk melindungi hak orang Melayu dan menentang penjajah British.

"Panji ini juga pernah berkibar megah di gunung Semanggol, Perak yang menjadi kubu Hizbul Muslimin yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Baqir yang diasaskan pada 17 Mac 1948," katanya lagi.

Insiden tindakan segelintir individu mengibarkan bendera yang didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa mendapat kritikan pelbagai pihak dan disifatkan sebagai perbuatan paling kurang ajar serta harus ditolak rakyat Malaysia.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak tegas dan menyegerakan proses undang-undang terhadap dalang insiden yang memalukan itu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, beliau mahu golongan terdesak itu dihadapkan ke muka pengadilan demi kepentingan rakyat yang majoritinya mahu melihat mereka diadili mengikut peraturan dan undang-undang yang ada.

"Rakyat kebanyakannya kini sudah jemu dan meluat dengan tindakan desperado politik ini yang sudah merasakan merasa mereka akan kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lantas bertindak dan mencipta isu membangkitkan kebencian rakyat terhadap pemimpin kerajaan kini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain