PUTRAJAYA: Rakyat sudah boleh menilai berhubung hasrat kerajaan negeri Selangor yang mahu mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen secara berasingan walaupun Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapinya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Sama ada tindakan kerajaan negeri itu disebabkan bimbang mereka akan kalah, Muhyiddin berkata ia juga terserah kepada rakyat untuk menilainya. Mungkin juga kerajaan Selangor merasa gusar kerana rakyat di negeri itu sudah bersedia menyokong BN dan hanya menunggu masa mengembalikan negeri itu kepada BN untuk ditadbir, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal yang memetik pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan diadakan berasingan daripada pilihan raya umum - memecahkan tradisi lama dalam sejarah pilihan raya di negara ini.Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat semalam dengan memetik "masalah yang tidak dapat diselesaikan" pada senarai pemilih di negeri itu yang dikatakan termasuk ribuan pengundi yang diragui."Kalau rakyat Selangor sudah bersedia buat keputusan menyokong BN, agaknya waktu pilihan raya Parlimen mereka akan sokong BN tetapi kalau tiada pilihan raya di peringkat negeri setidaknya Anwar Ibrahim dan pengikutnya akan kata mereka tidak kalah di peringkat negeri," katanya.Selepas itu, katanya, mereka akan mengatur strategi untuk mengadakan pilihan raya. Muhyiddin berkata sama ada ia akan berlaku atau tidak, bagi Barisan Nasional (BN) baik di peringkat pusat mahupun negeri, mereka sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang."Kita tidak boleh buat tafsiran sama ada itu akan berlaku atau tidak, terserah kepada mereka (kerana) negara mengamalkan demokrasi, rakyat juga ada pilihan untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita."Sama ada ia akan menyebabkan kos berganda pun biar rakyat menilai, sama ada ia akan menimbulkan masalah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih mengetahuinya, yang penting BN Selangor sedia berdepan apa jua keadaan dan situasi," katanya. - BERNAMA