KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat berwaspada dengan tiga "senjata" iaitu kutuk, hasut dan janji yang digunakan pembangkang untuk memenangi hati mereka."Dia mesti kutuk (kerajaan), mereka mesti tentang (kerajaan). Selepas itu, mereka mesti hasut dan kemudian mereka menabur janji. Seperti yang saya telah katakan, mereka akan menjanjikan bulan, bintang dan waima cakerawala," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-41 Gerakan di sini, Ahad. Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata rakyat perlu berfikir tentang janji-janji manis yang ditabur oleh pakatan pembangkang yang akhirnya terserlah sebagai racun berbisa buat mereka."Adakah ia benar-benar baik untuk rakyat atau akan membawa musibah kepada negara. Inilah rakyat mesti fikir, sebab nak jadi pembangkang senjatanya ada tiga kutuk, hasut, janji," tegas Perdana Menteri.Najib berkata untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam sistem Parlimen, mereka perlu memenuhi beberapa syarat asas, satu daripadanya ialah menggunakan satu simbol sahaja. "Pendek kata, anda perlu berdaftar sebagai sebuah parti. Tetapi Pakatan Rakyat bukan berdaftar sebagai sebuah parti atau mereka mempunyai satu simbol bersama," katanya.Perdana Menteri berkata BN telah menggunakan satu simbol sahaja, dengan semua calonnya bertanding di bawah simbol atau lambang BN pada pilihan raya."Kami pergi berjumpa dengan rakyat sebagai BN, tetapi pembangkang akan pergi berjumpa rakyat dengan simbol berbeza (simbol parti masing-masing)."Simbol tak sama...kita tak pasti sama ada mereka akan bentang manifesto yang sama," katanya dan menurutnya malah pergaduhan berhubung hukum hudud di kalangan pakatan pembangkang juga telah berlaku secara terbuka.Najib berkata ini menunjukkan yang mereka tidak mempunyai pendirian bersama dan dasar bersama mengenai bagaimana negara ini akan ditadbir urus, dan ini diperkukuhkan lagi dengan kegagalan pembangkang mengisytiharkan "kabinet bayangan" mereka.