suria

Anak Khaled Nordin Jadikan Bapa Idola Berbakti Kepada Masyarakat

Datuk Seri Mohammad Khaled Nordin menyampaikan sendiri sijil Ijazah Undang-undang kepada anak tunggalnya, Akmal Saufi, pada Ahad.
Datuk Seri Mohammad Khaled Nordin menyampaikan sendiri sijil Ijazah Undang-undang kepada anak tunggalnya, Akmal Saufi, pada Ahad.
Datuk Seri Mohammad Khaled Nordin menyampaikan sendiri sijil Ijazah Undang-undang kepada anak tunggalnya, Akmal Saufi, pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Anak tunggal kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Akmal Saufi Khaled, 24, menjadikan bapanya sebagai idola dalam meletakkan dirinya sebagai seorang yang bakal berbakti kepada masyarakat.

Akmal, penerima Ijazah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyifatkan pendedahan oleh bapanya terhadap persekitaran yang memperjuangkan hak rakyat sejak kecil membuatkannya lebih bersemangat untuk memberi keadilan kepada masyarakat.

“Ayah tidak pernah memaksa saya dalam membuat sebarang keputusan dan memilih apa yang terbaik untuk diri saya.

“Namun saya sendiri yang mengariskan hidup saya untuk menjadi seperti dia. Pernah satu ketikanya saya masuk ke bilik pejabat dia di rumah untuk baca buku-buku miliknya,” katanya selepas majlis konvokesyen UIAM ke-28, pada Ahad.

Lebih bermakna, Akmal Saufi menerima penganugerahan itu daripada bapanya sendiri yang diberi perhormatan untuk menyampaikan sijil kepada 829 graduan Ijazah Undang-undang dan Ijazah Sains Biomedik.

Selain Akmal Saufi, anak perempuan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Husna Zambry turut menerima sijil Ijazah Sains Biomedik.

Dalam pada itu, Akmal tidak menolak jika diberi peluang untuk mengikut jejak langkah bapanya untuk menjurus ke bidang politik.

“Susah untuk mengatakannya sekarang, andai kata begitu jalannya untuk saya berbakti kepada masyarakat saya terima, jika tidak saya ikut cara saya dalam bidang ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai cabaran mengharungi kehidupan sebagai anak kepada seorang menteri, Akmal berpendapat ia adalah satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan baik.

“Bagi saya ia bukan kelebihan tetapi tanggungjawab yang perlu dipikul untuk menjadi lebih baik termasuk menjaga nama baik keluarga.

“Untuk itu saya sentiasa memastikan ayah tahu segala perkembangan saya terutamanya dari segi pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Khaled yang ditemui menzahirkan rasa gembira atas kejayaan anaknya dan berharap kejayaan tersebut membuka ruang kepada Akmal untuk mencipta kejayaan lebih besar.

“Sebagai bapa, ini adalah saat paling gembira kerana sudah melaksanakan tanggungjawab memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak.

“Saya tidak pernah menentukan di mana dia patut belajar, saya beri peluang dia untuk memilih dan ini adalah pilihan tepat untuk dirinya,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain