suria

Warga Emas Lumpuh Terselamat Dalam Kebakaran

KANGAR: Seorang warga emas yang lumpuh terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan rumah yang didiaminya dalam kejadian di Kampung Bakong, dekat sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Ahmad Daud, 70, yang lumpuh sejak lapan tahun lepas setelah diserang angin ahmar, sedang tidur di ruang tamu rumah tersebut.

Dua anak perempuannya, Norhana, 50, dan Masitah, 40, yang berada di rumah bersebelahan, bergegas masuk ke dalam rumah berkenaan ketika api sedang marak dan bertindak menarik tilam bersama mangsa di atasnya ke luar rumah.

"Kami hadapi kesukaran menarik tilam kerana terpaksa melalui longkang namun terpaksa lakukan untuk menyelamatkan bapa," kata Masitah.

Beliau bersyukur kerana bapanya selamat walaupun rumah papan yang diduduki sejak 15 tahun lepas beserta segala kelengkapan dan dokumen penting musnah dalam kebakaran itu.

Semasa kejadian, isteri mangsa Hamiah Hussain, 72, berada di rumah salah seorang anaknya yang terletak berhampiran dan bergegas pulang selepas terbau sesuatu terbakar dari arah rumahnya.

Hamiah berkata semasa memasuki rumah, beliau melihat bahagian dapur rumahnya sedang terbakar dan memanggil anak-anaknya bagi membantu suaminya yang terlantar di ruang tamu.

Beliau bersyukur kerana tindakan pantas dua anak perempuannya itu berjaya menyelamatkan suaminya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Arau, Khairul Ariffin Che Ramli berkata pihaknya menerima panggilan pukul 11.35 pagi dan tiba di tempat kejadian pada 11.43 pagi.

Punca kebakaran sedang disiasat dan nilai kerugian sedang ditaksirkan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain