suria

Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Minta Suapan RM700

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini Rabu atas tuduhan meminta suapan ketika menjalankan tugas, Januari lalu.

Azman Atan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datin Nusinah Adzmi.

Mengikut pertuduhan, Azman, sebagai anggota polis yang bertugas di bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis daerah Tampin, meminta suapan iaitu wang tunai RM700 daripada G.Punithan, 25, dan A.Mohan, 23.

Ia sebagai dorongan untuk tidak menambah tempoh tahanan reman ke atas Punithan dan Mohan yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya.

Azman dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis daerah Tampin kira-kira 3 petang, 29 Januari 2012.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Jasmi Buang mencadangkan mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Azman yang diwakili peguam Azhar Zulkifli Stork memohon agar wang jaminan minimum dikenakan berikutan tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen, Melaka, atas kesalahan sama.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain