suria

Warga Emas Dipukau, Barang Kemas RM20,000 Lesap

KULIM: Seorang warga emas, Siti Shamsiah Ahmad, 60, kerugian lebih RM20,000 apabila barangan kemasnya dilarikan seorang wanita yang dipercayai telah memukau mangsa di pasar pagi Padang Serai dekat sini, Jumaat lalu.

Siti Shamsiah dari Kampung Keladi di sini berkata ketika kejadian dia asyik memerhati seorang penjual ubat tradisional di pasar itu sebelum didatangi seorang wanita kira-kira pukul 10.45 pagi.

Katanya, wanita itu menghampirinya dan memberitahu dia sakit mata sambil menunjukkan matanya kepada Siti Shamsiah sebelum beredar secara tiba-tiba.

"Ketika saya nak ambil wang daripada dompet untuk bayar harga ubat tradisional, saya terkejut apabila sebuah lagi dompet kecil dalam beg tangan saya hilang," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Katanya, dalam beg yang hilang itu terdapat seutas rantai tangan, dua utas rantai leher, dua bentuk loket, 10 biji mutiara, sepasang anting-anting berlian dan sebuah jam tangan.

Beliau dan suami kemudiannya membuat laporan mengenai kehilangan barang-barang kemas tersebut pada hari sama di Balai Polis Padang Serai di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membawa barang kemas yang banyak bersama mereka semasa membeli keperluan harian di pasar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain