Penolong Pengarah Kastam KLIA, Sazali Unus menunjukkan beberapa Key-Chain yang berisi dadah pada sidang akhbar mengenai kejayaan Kastam KLIA merampas 7.25 kg dadah jenis Amphetamine bernilai RM725,000 di Ibu Pejabat Kastam KLIA di Sepang, Selasa. -fotoBERNAMASEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis amphetamine bernilai RM725,000 yang disorokkan dalam rantai kunci pada 30 Oktober lepas.Pengarah Kastam KLIA Badaruddin Mohamed Rafik berkata hasil serbuan anggota Kastam di gudang Zon Perdagangan Bebas KLIA kira-kira 12.45 tengah hari berkenaan menemui dua kotak berisi 2,496 utas rantai kunci yang di dalamnya mengandungi serbuk putih berbentuk kristal. "Setelah diuji melalui test kit, serbuk berkenaan adalah dadah jenis amphetamine seberat 7.25 kilogram (kg) anggaran kasar atau anggaran empat gram dadah untuk seutas rantai kunci," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.Beliau berkata taktik menyorok dadah dalam rantai kunci adalah kali pertama ditemui dan mungkin menjadi modus operandi terbaru sindiket penyeludupan dadah.Bagaimanapun sehingga kini suspek masih lagi belum dikenal pasti, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, kata Badaruddin.Beliau berkata berdasarkan dokumen 'Airway bil' yang diperiksa mendapati dagangan itu datang dari Madras India dan akan dihantar ke satu alamat di Cheras.Katanya sebuah syarikat yang namanya tertera pada rantai kunci itu juga mungkin akan dihubungi untuk membantu siasatan.Sehingga 31 Oktober lepas, Kastam KLIA berjaya menahan 58 suspek terlibat dadah iaitu 48 lelaki dan 10 perempuan dalam 51 kes berasingan di KLIA dan Terminal Penerbangan Tambang Murah, dengan berat 265.778 kg bernilai RM30,864,826.70. - BERNAMA