KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di tiga negeri Johor, Perak dan Melaka bertambah baik pagi Khamis manakala keadaan di Selangor tidak berubah.Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di ketiga-tiga negeri yang semakin pulih itu berkurangan pagi ini berbanding malam tadi apabila lebih ramai mangsa dibenar pulang. Jumlah keseluruhan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di empat negeri yang dilanda banjir berikutan hujan lebat di pantai barat Semenanjung sejak lima hari lepas itu kini 3,355 orang berbanding 3,712 malam tadi setelah 368 orang dibenar pulang ke rumah masing-masing.Di JOHOR, laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan seramai 987 orang masih berada di 11 pusat pemindahan di Batu Bahat dan satu di Ledang, berbanding 1,320 orang malam Rabu.Di PERAK, keadaan banjir di negeri itu juga bertambah baik dengan jumlah mangsa di dua pusat pemindahan di Hilir Perak pagi Khamis berkurangan kepada 177 orang berbanding 227 malam Rabu.Di MELAKA, seramai 74 mangsa banjir masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Jasin berbanding 98 orang malam Rabu.Di SELANGOR, keadaan banjir tidak berubah dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan iaitu empat di Kuala Langat dan tiga di Sepang kekal 2,117 orang.Sementara itu, Jabatan Saliran dan Pengairan berkata paras air di sungai utama di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan masih melebihi aras amaran.Sungai Langat di Bukit Changgang, Selangor kini mencatat paras air 3.85 meter manakala Sungai Rembau di Titian Bintangor, Negeri Sembilan (6.53 meter) dan Sungai Lenik di Batu Pahat, Johor (5.40 meter).Jabatan Meteorologi pula meramalkan ribut petir di perairan Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalaman) dan Bunguran pada Khamis.Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - BERNAMA