DUNGUN: Sepuluh lelaki ditahan kerana positif dadah dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di hadapan Stesen Timbang JPJ, Bukit Besi di sini, malam Rabu.Pengarah JPJ negeri Abdul Rahman Emang Anyie berkata kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun itu diserahkan kepada Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk tindakan lanjut. Operasi selama tujuh jam bermula 3 petang itu membabitkkan 50 pegawai dan anggota dari lima agensi termasuk polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kastam."JPJ turut mengeluarkan 33 saman atas pelbagai kesalahan dan 18 daripadanya membabitkan kesalahan cermin gelap, manakala tiga buah kenderaan disita," katanya pemberita di sini, Khamis.Selain itu, 19 saman dikeluarkan pihak polis atas bagi pelbagai kesalahan trafik manakala JAS mengeluarkan tujuh saman berkaitan pelepasan asap diesel di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.Dalam perkembangan lain Abdul Rahman berkata pemilik kenderaan bercermin gelap yang gagal mematuhi notis arah periksa JPJ di negeri ini akan disenarai hitam kerana ingkar arahan."Kebanyakan mereka yang gagal hadir adalah pemilik kenderaan yang memasang cermin gelap dan enggan membuang lapisan 'tinted' yang telah dipasang."Setiap kali operasi dibuat, kita memberi notis amaran dan tempoh kepada mereka untuk membuang 'tinted' dan seterusnya perlu datang ke JPJ untuk pemeriksaan semula bagi memastikan tahap ketelusan cahaya kenderaan menepati standard keselamatan yang dibenarkan," katanya.Menurutnya pemandu yang disenarai hitam akan menghadapi kesukaran untuk berurusan dengan JPJ termasuk memperbaharui cukai jalan.Katanya pemilik yang diberi notis berkenaan perlu menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa di mana-mana cawangan JPJ dalam tempoh 10 hari atau akan dikenakan kompaun RM200 serta tindakan lain."Cermin kenderaan pada bahagian sisi perlu melebihi 50 peratus kecerahan sementara 70 peratus kecerahan ditetapkan pada bahagian cermin depan dan belakang," tambahnya. - BERNAMA