SHAH ALAM: Seorang wanita Nigeria dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 2,236 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Februari tahun lepas.Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli memerintahkan tertuduh, Okpaladim Tina Ovoke, 31, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap, 17 Feb 2011. Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata hukuman dijatuhkan selepas mengambil kira jumlah dadah yang terlibat dan kekerapan berlakunya kes seperti itu yang tidak boleh dipandang ringan.Beliau berkata walaupun tertuduh telah mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan, hukuman setimpal harus dijatuhkan demi menjaga kepentingan awam."Mahkamah simpati dengan tertuduh kerana melahirkan anak di penjara dan perlu menjaga anak di penjara, tetapi tertuduh seharusnya berfikir dahulu akibatnya sebelum melakukan kesalahan itu," katanya.Tina didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi C, Aras 3, KLIA pada kira-kira 11 malam dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.Tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.Dia bagaimanapun bernasib baik apabila pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni menawarkan pertuduhan pilihan itu.Terdahulu, peguam Suzanawati Ismail yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun di Nigeria dan seorang lagi anak perempuan berumur setahun yang dilahirkan di penjara."Pohon hukuman ringan dijatuhkan bagi beri peluang tertuduh bertemu semula dengan seorang lagi anaknya di Nigeria," katanya.Hafizza pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh serta bakal pesalah lain supaya tidak melakukan kesalahan sama. BERNAMA