Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi penerangan oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mengenai kotak-kotak berisi ubat-ubatan dan barang-barang keperluan asas pada majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M dan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia ke Gaza "2nd Wave Road to Gaza" ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, Jumaat. Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. --fotoBERNAMA SEPANG: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bangga rakyat Malaysia pelbagai kaum menyertai misi kemanusiaan 'Gelombang Kedua Laluan ke Gaza: Misi Kemanusiaan' untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza.Dr Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) berkata rombongan seramai 64 sukarelawan daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India menunjukkan rakyat di negara ini prihatin terhadap penderitaan penduduk Gaza. "Penduduk di negara ini melihat pergolakan di negara itu sebagai satu penganiayaan terhadap manusia."Ini bukan soal kaum atau agama tetapi soal penganiayaan terhadap manusia di Gaza. Sebab itu, kita sebagai rakyat Malaysia membantu seberapa yang mungkin," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta misi bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, Jumaat.Hadir sama isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.Dr Mahathir mahu rakyat Malaysia berdoa agar semua sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza kali ini selamat dan berjaya menyampaikan bantuan kepada rakyat di negara itu yang ditindas Israel. "Sejak serangan terbaru Israel ke atas Gaza, lebih 120 rakyat Gaza mati. Kita yang hidup senang-lenang tanpa bahaya harus bersimpati dan bertimbang rasa terhadap mereka yang kurang bernasib baik di negara itu," katanya sambil menyeru rakyat di negara ini terus menghulurkan bantuan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.Sementara itu, Abdul Azeez berkata misi kemanusiaan kali ini menyasar untuk membantu 40,000 keluarga Palestin di Gaza dengan menyalurkan makanan dan selimut berbanding misi kali pertama pada 2010.Selain itu, beliau berkata misi ini juga membawa 4.5 juta tan ubat-ubatan, perlatan dan perkakasan yang diminta badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah yang mahu bekerjasama dengan KP1M."Misi kali ini juga disertai 19 orang doktor pakar, termasuk pakar kanak-kanak. Dijangka 42 pembedahan akan dilakukan sepanjang misi ini."Dengan bantuan dari Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan pihak Hamas di Gaza, kami yakin misi ini akan berjaya," katanya. -BERNAMA