suria

Zahrain Sertai Umno Semula Bersama 347 Ahli PKR

Najib menerima 347 borang keahlian Umno yang diserahkan oleh Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (dua, kiri) pada majlis makan tengah hari bersama penduduk Bayan Baru, P.Pinang, Sabtu. -fotoBERNAMA
Najib menerima 347 borang keahlian Umno yang diserahkan oleh Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (dua, kiri) pada majlis makan tengah hari bersama penduduk Bayan Baru, P.Pinang, Sabtu. -fotoBERNAMA
Najib menerima 347 borang keahlian Umno yang diserahkan oleh Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (dua, kiri) pada majlis makan tengah hari bersama penduduk Bayan Baru, P.Pinang, Sabtu. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada Sabtu menyerahkan surat permohonan menyertai semula Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Surat permohonan Zahrain bersama 347 bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bayan Baru, Bukit Gelugor dan Jelutong itu diserahkan kepada Najib pada majlis makan tengah hari Perdana Menteri bersama Masyarakat Bayan Baru, di perkarangan Pejabat Umno Bahagian Bayan Baru di sini.

Bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berkata beliau memilih untuk kembali kepada Umno kerana percaya hanya parti itu mampu memperjuang wadah orang Melayu terutama penduduk di Pulau Pinang.

"Sudah sampai masanya saya memilih Umno kerana selama ini saya tertipu dengan perjuangan pakatan pembangkang, mereka sebenarnya mempunyai agenda tertentu sahaja.

"PKR dan Pas yang mendakwa kononnya memperjuang nasib orang Melayu sebaliknya hanya memperguna kepentingan orang Melayu, tiada parti lain yang mampu memberi keistimewaan kepada orang Melayu dan bukan Melayu," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan, di sini.

Terdahulu pada majlis itu, kira-kira 1,000 masyarakat kawasan Bayan Baru menyertai majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta para pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.

Zahrain berkata lebih ramai lagi anggota parti dari pembangkang akan menyertai Umno pada masa depan dan beliau percaya situasi itu mampu memberi kelebihan kepada BN Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau berkata rakyat Pulau Pinang harus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan BN kerana hanya parti itu mampu memperjuang nasib mereka berbanding pembangkang yang pandai membuat janji sahaja.

"Ini hanya permulaan (menyerahkan surat permohonan menyertai semula Umno) dan lebih ramai lagi terutama mereka yang bukan Melayu akan menyertai dan beri sokongan pada BN, ia bukan sahaja di kawasan Bayan Baru malah beberapa parlimen lain di sini (bahagian pulau)," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyokong Umno jika tidak dipilih sebagai calon PRU-13 nanti, Zahrain berkata beliau akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih Perdana Menteri menjadi calon BN di Bayan Baru untuk memastikan kemenangan BN.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Aminah Abdullah berkata beliau yang keluar daripada parti itu pada tahun 2007 juga turut menghantar surat permohonan untuk menyertai Umno hari ini.

"Saya kembali menyokong BN kerana yakin hanya BN dapat membantu semua kaum di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain