suria

Tiga Lelaki Diberkas Setengah Jam Selepas Menyamun

KUALA TERENGGANU: Hasrat empat penyamun untuk menikmati hasil samun mereka tidak kesampaian apabila tiga daripadanya berjaya diberkas polis setengah jam selepas menyamun di sebuah rumah di Felda Nerang di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu suspek, dipercayai kesemuanya warga Indonesia, telah mengikat tuan rumah berusia 54 tahun dan anak lelakinya berusia 27 tahun sebelum melarikan beberapa barang berharga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata kesemua suspek bersenjata parang, sabit dan besi.

"Suspek melarikan beberapa buah telefon bimbit, komputer riba, jam tangan, beberapa jenis barang kemas dan wang tunai kira-kira RM900 sebelum melarikan diri," katanya. Selepas berjaya melepaskan diri, mangsa segera menghubungi polis.

Tindakan pantas polis berjaya mengesan kesemua suspek kira-kira pukul 4 pagi menaiki motosikal tidak jauh dari situ menyebabkan suspek meninggalkan motosikal mereka dan melarikan diri ke kawasan semak.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek berusia 25 tahun berjaya diberkas, kata Manoharan.

"Siasatan pihak polis kemudiannya berjaya menangkap dua lagi suspek - seorang berusia 30 tahun di ladang sawit Cheneh dan seorang lagi berusia 21 tahun diberkas di Kuantan, Pahang lewat pagi ini.

Pihak polis turut menemui semula sejumlah barang kemas dan jam tangan daripada ketiga-tiga suspek.

Manoharan berkata suspek keempat yang masih bebas dipercayai cedera di bahagian kaki akibat terpijak sabit ketika merompak. - BERNAMA

Artikel Lain