suria

20,000 Unit Rumah PR1MA Dan Monorel Untuk Rakyat P.Pinang - PM

Najib melihat Chang Lai See, 59, mengisi borang permohonan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) secara online yang dirasmikan oleh Perdana Menteri sempena pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM), Sabtu. -fotoBERNAMA
Najib melihat Chang Lai See, 59, mengisi borang permohonan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) secara online yang dirasmikan oleh Perdana Menteri sempena pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM), Sabtu. -fotoBERNAMA
Najib melihat Chang Lai See, 59, mengisi borang permohonan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) secara online yang dirasmikan oleh Perdana Menteri sempena pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM), Sabtu. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat semula untuk memerintah negeri ini.

Katanya, 10,000 unit rumah mampu milik itu akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) manakala baki 10,000 unit akan dibina oleh agensi-agensi kerajaan termasuk JKP Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

"Rumah-rumah itu akan dijual di bawah harga pasaran untuk rakyat Pulau Pinang, contohnya jika rumah itu harga pasarannya RM500,000 kita jual dengan harga RM300,000 sahaja," katanya ketika berucap melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Lebih 20,000 orang termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen menghadiri majlis itu.

Najib berkata pakatan pembangkang yang mengambil alih pemerintahan di Pulau Pinang gagal menyelesaikan masalah rakyat malah tidak membina rumah mampu milik dan rumah kos rendah di negeri ini.

"Sebagai contohnya isu Kampung Buah Pala, semua pemimpin pembangkang meletak tangan di atas kepala seorang penduduk dan berjanji kononnya dalam masa dua minggu mereka akan menyelesaikan masalah. Tetapi mereka gagal dan akhirnya kerajaan BN juga menyelesaikan masalah baki 26 penduduk di kampung itu," katanya.

Beliau berkata permohonan untuk PR1MA boleh dibuat melalui online yang dibuka setiap hari dan cabutan (undian mendapatkan rumah) akan dibuat secara telus.

Najib berkata satu lagi janji yang akan ditunaikan ialah pembinaan perkhidmatan monorel sebagai langkah mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin serius.

"Kita tahu rakyat Pulau Pinang dihantui dengan kesesakan lalu lintas. Jadi, jika BN menang kita tengok macam mana nak selesai masalah ini dan akan membina sistem monorel sama seperti perkhidmatan LRT (transit aliran ringan) yang ada di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata rakyat Pulau Pinang layak untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih baik lagi dan perkara ini akan menjadi kenyataan jika mereka memberi kepercayaan kepada BN.

Perdana Menteri itu juga berkata BN tidak akan membiarkan orang Melayu di negeri ini terpinggir dan dalam masa yang sama akan terus membela kaum Cina dan India.

Beliau berkata setiap satu undi untuk BN adalah undi untuk kestabilan dan kemajuan manakala satu undi untuk PAS adalah untuk perpecahan, satu undi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah untuk mencapai perjuangan peribadi seseorang dan satu undi untuk DAP adalah undi untuk masa depan yang tidak menentu.

Najib juga berkata label BN 'Janji Ditepati' adalah bagi menggambarkan dan meyakinkan rakyat bahawa parti itu sebuah parti yang boleh diberi kepercayaan dan amanah serta apa sahaja yang dijanjikan kepada rakyat akan ditunaikan.

"Kalau kita sudah buat satu janji kita anggap janji itu satu ikatan. Dengan satu ikatan itu rakyat akan tetapkan kepercayaan dan amanah kepada kita. Kerajaan Barisan Naasional walau apa-apa pun kita janji, kita akan tunaikan dan tepati," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain