suria

Bukan Islam Boleh Guna Kalimah Allah - Hadi

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media mengenai pendirian Pakatan Rakyat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. -fotoFAIHAN GHANI
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media mengenai pendirian Pakatan Rakyat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. -fotoFAIHAN GHANI
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media mengenai pendirian Pakatan Rakyat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. -fotoFAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh diterjemah ke dalam mana-mana bahasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan kalimah Allah tidak wajar disalah gunakan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

"Penganut Islam pelbagai bangsa boleh tetap menyebut perkataan Allah apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

"Selain itu Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR dan DAP menyambut baik pendirian PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Kenyataan PAS kita sambut baik dan ia selari dengan pendirian Islam. Oleh demikian, kita tidak halang namun dalam mesyuarat kita suarakan keprihatinan kita supaya tidak ada pihak mempermainkan isu ini.

“Pihak-pihak gereja juga perlu menghormati prinsip ini sebagaimana orang Islam meletakkan dan memuliakan nama Allah,” katanya.

Diminta mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Hadi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Cukuplah dengan kenyataan saya sebelum ini…PAS konsisten dengan pendirian dalam isu ini seperti yang dikeluarkan pada 4 Januari 2010,” katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.

Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.

Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pendirian parti itu jelas bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah 'God' dengan 'Tuhan' dan bukannya 'Allah' untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal kitab berkenaan.

Artikel Lain