PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga kini menerima 2,485 permohonan daripada rakyat Malaysia di luar negara yang ingin mengundi secara pos pada Pilihan Raya Umum ke-13.Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata antara negara paling ramai rakyat Malaysia mendaftar ialah Australia iaitu 574 orang, diikuti United Kingdom (449), Amerika Syarikat (195), China (132) dan Qatar (116). "Tarikh tutup permohonan bagi pendaftaran pengundi pos luar negara ini ialah bila Parlimen dibubarkan, tetapi saya nasihatkan mereka supaya mendaftar awal supaya proses pendaftaran tidak berdepan masalah dan dijalankan secara sistematik. Jangan tunggu saat akhir baru nak daftar," katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.Pengundi yang ingin memohon perlu memuat turun borang 1B daripada laman sesawang SPR di www.spr.gov.my dan kemudian menghantar kembali borang yang siap diisi kepada SPR melalui e-mel, faks atau pos seperti tertera dalam laman sesawang itu.Peraturan membenarkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara mengundi secara pos telah diwarta pada 21 Januari lepas berdasarkan tiga syarat.Syarat itu ialah menjadi pengundi berdaftar; pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa; dan menetap di luar negara kecuali mereka yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan.Wan Ahmad berkata setiap permohonan akan diproses serta diluluskan pegawai pilihan raya di kawasan pengundi itu sendiri, dan pengundi pos luar negara akan mengundi di kedutaan atau pejabat pesuruhjaya tinggi Malaysia di negara mereka berada."Kita tidak akan menghantar kertas undi ke alamat pengundi pos luar negara kerana kita tidak mahu ada kes yang tidak dapat kertas undi dan sebagainya, kita mahu menjamin hak mengundi itu terjaga dengan baik," katanya.Beliau menolak dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bahawa proses undi pos luar negara itu memerlukan masa kira-kira sebulan untuk dilaksanakan dan diketahui keputusannya."Sukar untuk meletakkan hari yang 'tepat' bagi melaksanakan undi pos luar negara ini, namun kita mengambil langkah pantas bagi memastikan kertas undi sampai kepada pengundi dan dapat kembali kepada SPR dengan pantas, tanpa lengah. Malah, hari mengundi di sana nanti hanya satu hari sahaja," katanya. BERNAMA