suria

Xenophon Dilarang Masuk Kerana Langgar Peraturan Imigresen

KUALA LUMPUR: Ahli politik warga Australia Senator Nick Xenophon dilarang masuk ke negara ini kerana melanggar peraturan Jabatan Imigresen Malaysia dan undang-undang negara ketika lawatan beliau sebelum ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata larangan kemasukan membabitkan Xenophon itu adalah mengikut Seksyen 8(3) Akta Immigresen 1959/63 sebagai orang yang dilarang masuk.

"Xenophon pernah beberapa kali memasuki Malaysia sebelum ini dan didapati pernah menyertai aktiviti haram yang melanggar undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Alias berkata senator itu juga didapati menyebar maklumat negatif yang tidak berasas berkaitan Malaysia menerusi pelbagai tuduhan liar.

"Tindakan larangan kemasukan terhadap Senator Nick Xenophon adalah hak kerajaan Malaysia, selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan negara ini," katanya.

Xenophon tiba di Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT) Sepang pada 6.50 pagi Sabtu dari Melbourne, dan beliau dimaklumkan tentang larangan itu oleh pegawai imigresen di LCCT, kata Alias.

"Adalah ditegaskan bahawa Xenophon bukan ditahan atau ditempatkan bersama tahanan lain di bilik kurungan Jabatan Imigresen di LCCT Sepang.

"Xenophon kini berada di bilik menunggu JIM di LCCT Sepang sementara menunggu untuk berlepas pulang ke Melbourne menaiki pesawat berikutnya malam Sabtu," kata pengarah imigresen itu.

Alias menarik perhatian Xenophon berada di bawah jagaan Jabatan Imigresen dan diberi layanan biasa sebagai individu yang dilarang masuk ke negara ini, dan bukan sebagai penjenayah.

"Xenophon juga telah dibenarkan menghubungi pihak Kedutaan Australia di Kuala Lumpur menerusi telefon," katanya. BERNAMA

Artikel Lain