PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kepimpinan kerajaan gagal menangani isu pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu lebih awal.Anwar berkata, kerajaan sepatutnya menyelesaikan lebih awal insiden pencerobohan tersebut sebelum lebih banyak pertumpahan darah berlaku. "Ini bukan kelemahan di peringkat Angkatan Tentera Malaysia atau pasukan polis tetapi ini kelemahan dalam memberi arahan di peringkat tertinggi."Kenapa kerajaan ambil masa yang lama sampai 23 hari untuk atasi insiden pencerobohan sedangkan kedaulatan (Sabah) digugat," katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu.Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga turut berjanji Pakatan Rakyat akan memelihara kedaulatan Sabah dan negara ini sekiranya mereka memegang tampuk pemerintahan."Jika kita ambil alih, kita janji tidak akan membenarkan mana-mana militan masuk ke negara ini. Demi kedaulatan dan maruah negara ini," katanya.Beliau sekali lagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memanggil sidang Parlimen tergempar untuk membincangkan isu pencerobohan di Lahad Datu serta memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.Anwar menegaskan serangan yang dilakukan oleh kerajaan adalah terhadap penceroboh bersenjata yang mengaku tentera Sulu dan bukannya rakyat Sulu yang tinggal di Malaysia."Ini bukan peperangan terhadap rakyat Sulu tapi terhadap puak penceroboh bersenjata... Kita telah jelaskannya kita tidak akan benarkan sebarang aktiviti militan di negara ini," katanya. Sementara itu gesaan agar sidang Parlimen tergempar turut dilontarkan oleh beberapa pemimpin pembangkang.Antaranya adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Liew Chin Tong yang menegaskan amalan demokrasi menetapkan soal keselamatan dan soal hubungan luar negara diputuskan secara dwipartisan."Sebagai ahli parlimen, kami mahu diberi peluang memahami latar belakang isu ini."Isu ini mewajarkan satu sidang khas parlimen diadakan," kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.