suria

Agensi Berita Nasional Umum Pelantikan Baru

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang, Datuk Yong Soo Heong dilantik sebagai Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)yang baru manakala timbalannya, Datuk Zulkefli Salleh sebagai Ketua Pengarang.

Pelantikan itu diumumkan Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman pada Isnin. Abdul Rahman berkata, pelantikan Yong, 58, berkuatkuasa 1 Januari lepas, bagi menggantikan Datuk Hasnul Hassan yang tamat kontrak.

Pelantikan Zulkefli, 56, pula yang sebelum ini memegang jawatan timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, berkuatkuasa 15 Mac.

"Saya berharap mereka akan meneruskan perkhidmatan cemerlang agensi ini, iaitu selaras dengan matlamat menjadikan Bernama sebagai agensi berita dan maklumat yang terunggul di Asia.

"Saya juga berharap mereka mampu membawa Bernama dalam transformasi mengharungi era baharu terutama dalam menghadapi cabaran media baharu pada masa kini," katanya.

Beliau berkata, Bernama selama ini mempunyai kredibiliti yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan pengamal media malah pelbagai lapisan masyarakat, maka dengan pelantikan ini diharapkan kredibiliti itu berkekalan terutama dalam kalangan pembaca, pelanggan dan pengguna Bernama.

Yong mula bertugas sebagai pemberita kadet Bernama pada Ogos 1974 dan memegang menjawat ketua pengarang Bernama selama kira-kira enam tahun.

Beliau merupakan wartawan Bernama ketiga yang bermula di peringkat bawah dan kemudian dilantik kepada jawatan pengurus besar agensi berita ini.

Beliau mengikut jejak dua pengurus besar Bernama sebelum ini iaitu Datuk Syed Jamil Syed Jaafar dan Datuk Seri Azman Ujang.

Zulkefli pula mula bertugas sebagai wartawan Bernama pada 17 September 1979 dan bertugas sebagai timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri bermula 1 Jun 2007. Beliau pernah bertugas sebagai pengurus Bernama Wilayah Utara bermula 15 Januari 2003 sebelum dilantik menjadi editor Perkhidmatan Berita Dalam Negeri pada 1 Februari 2005.

Pada 1 Mei 2005, beliau dilantik sebagai editor Tugas-Tugas Khas Perkhidmatan Berita Dalam Negeri sebelum menjadi editor eksekutif Perkhidmatan Berita Dalam Negeri pada 1 Jun 2006.

Sementara itu, Yong, semasa mengulas mengenai pelantikannnya sebagai ketua eksekutif pertubuhan ini berkata: "Saya berterima kasih kepada para pemimpin kita kerana menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap saya untuk menerajui Bernama.

"Berdasarkan pengalaman saya sepanjang bertahun lamanya berkhidmat dengan pertubuhan ini, saya berharap dapat mempertingkat keterlihatan dan reputasi Bernama secara keseluruhannya dalam membawa nilai yang lebih besar kepada pemegang kepentingan, meningkatkan kualiti dan standardnya, serta menambahbaik kebajikan petugas," katanya.

Zulkefli berkata dengan sokongan rakan editor dan wartawan Bernama, beliau akan berusaha ke arah mempertingkat lagi mutu perkhidmatan berita Bernama untuk kepuasan pelanggan, pemegang kepentingan dan orang ramai.

"Terima kasih kepada pihak-pihak yang memberi amanah dan kepercayaan kepada saya untuk mengetuai Jabatan Pengarang.

"Dalam era siber sekarang, kredibiliti sesebuah organisasi media amat penting dan perlu dipelihara agar Bernama terus menjadi sumber rujukan berita oleh pelanggan dan orang ramai bukan sahaja peringkat dalam negara tetapi Asia," katanya.

Bernama yang ditubuhkan pada 1967 sebagai agensi penyebar berita dan maklumat nasional, kini berkembang pesat dengan mengendalikan pelbagai perkhidmatan berita termasuk Radio24 dan Bernama TV. - BERNAMA

Artikel Lain