KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Isnin, tiada anggota keluarganya yang berbincang dengan beliau mengenai pembelian dua unit kondominium.Oleh itu, kata Shahrizat, beliau tidak tahu menahu tentang pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' menggunakan dana National Feedlot Corporation (NFCorp). "Ya, mereka (anggota keluarga) tidak berbincang dengan saya," katanya ketika disoal balas peguam Ranjit Singh dalam kes samannya terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategik parti itu, Rafizi Ramli.Ketika disoal selanjutnya oleh Ranjit yang mewakili Mohd Rafizi, sama ada beliau tahu tentang sebuah syarikat yang dikenali dengan nama National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC), telah membeli kedua-dua unit itu, Shahrizat menjawab: "Saya tidak tahu".Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berkata, beliau menyedari tentang dakwaan berkaitan NFCorp apabila syarikat itu menjadi isu.Shahrizat tidak bersetuju dengan cadangan Ranjit bahawa kenyataan Mohd Rafizi berhubung isu NFCorp adalah sebagai respons kepada kenyataan yang dibuat perdana menteri dan menteri pertanian dan industri asas tani di Parlimen pada 2011."Tidak, saya tidak bersetuju. Beliau (Mohd Rafizi) cuba menjatuhkan saya sebagai Ketua Wanita BN kerana beliau takut kepada kekuatan Wanita BN," katanya, dan menambah kenyataan Mohd Rafizi berhubung isu NFCorp seringkali menyebut mengenai keluarganya.Pada 19 Januari tahun lepas, Shahrizat memfailkan saman fitnah terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat oleh kedua-dua mereka mengenai isu NFCorp.Beliau menuntut RM100 juta dalam ganti rugi am, teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung sebarang perkara berkaitan NFCorp atau syarikat bersekutunya.Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung. - BERNAMA