PENDANG: PAS tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan siasatan dalaman berhubung penyebaran klip video seks terbaru mirip seorang pemimpin kanan parti itu.Malah siasatan itu juga tidak mustahil bakal meneliti sama ada wujud unsur sabotaj dalaman terhadap pemimpin berkenaan dengan matlamat tertentu. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, isu berkenaan tidak menjadi keutamaan parti itu buat masa ini berikutan semua pihak sedang memberi tumpuan kepada kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan."Nanti kita bincang video jenis apakah itu. Sabotaj atau tidak, nanti (dalam) mesyuarat kita bincang."Kita tak tahu sekarang ini...semua tumpu pada pilihan raya," katanya ketika ditemui selepas berceramah di Jenun di sini, Jumaat malam.Beliau mengulas mengenai video skandal seks yang didakwa mirip pemimpin kanan PAS yang memaparkan aksi hubungan seks dengan seorang wanita dipercayai di dalam sebuah bilik hotel.Video berkenaan mula diedarkan sejak Khamis malam.Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tampil mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenainya malah menyerahkan tindakan lanjut kepada peguamnya.Bagaimanapun tiada kenyataan penafian daripada Mustafa.Mengulas lanjut Mohamad yang lebih dikenali dengan 'Mat Sabu' mengakui masih belum menonton video tersebut kerana memberi tumpuan kepada kempen PRU."Saya hanya tahu petang tadi, tak tengok apa-apa lagi. Saya tak mau komen benda yang saya tak tengok," katanya.