LEDANG: Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengakui ada menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom atau bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah seperti yang disebut-sebut sebelum ini. "Tadi saya ada dapat panggilan daripada Perdana Menteri, tetapi saya tidak dapat beritahu kerana orang surat khabar ada di sini. Mohon doa-doakanlah semuanya selamat."Walau apa kemungkinan, Insya-Allah, apa pun kemungkinan tiap-tiap minggu saya datang, terutama hari Jumaat balik ke Ledang (juga) hujung-hujung minggu (balik ke Ledang), apa pun kemungkinan," katanya.Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jalinan Mesra Bersama Rakyat Kampung Hang Tuah, Melepang dan Termil dan Penyampaian Hak Milik Geran Tanah Kurnia Jaya Mukim Gersik di Balai Raya Kampung Melepang, dekat sini, Jumaat.Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Ledang, Ir. Hamim Samuri dan Setiausaha Badan Perhubungan MIC Johor, M. Asojan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri.Sebelum majlis itu bermula, Abdul Ghani mengambil masa kira-kira 15 minit berbual dengan Perdana Menteri sebelum kelihatan ceria dan bersemangat untuk menyampaikan ucapan.Sebelum ini, Abdul Ghani disebut-sebut calon yang akan bertanding di Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada PRU-13 kerana dikatakan paling sesuai menjadi calon di kawasan berkenaan.Sementara itu, selepas merasmikan menyampaikan geran tanah berkenaan, ketika diminta mengulas perbualan telefon antara beliau dan Perdana Menteri, Abdul Ghani berkata: "Tunggulah dua tiga hari lagi akan diumumkan (pencalonan saya)."