JOHOR BARU: Anggota Barisan Nasional (BN) masih kukuh menyokong dan setia kepada gabungan parti itu, walaupun terdapat segelintir yang bertindak menjadi calon Bebas pada pilihan raya umum ini.Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata ini menunjukkan tindakan yang dilakukan segelintir individu itu tidak memberi kesan terhadap sokongan anggota parti negeri ini kepada BN. Sambil menyifatkan tindakan yang dilakukan itu kerana 'meragam', Abdul Ghani berkata: "Ada antara mereka yang mengambil keputusan meletak jawatan dan ada yang diambil tindakan disiplin serta merta," katanya.Penamaan calon di negeri ini semalam menyaksikan kejutan apabila empat pemimpin akar umbi Umno mengambil tindakan menjadi calon bebas dipercayai berikutan tidak berpuas hati dengan soal calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan.Mereka ialah Md Ghazali Salamon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Mohd Azaman Johari di DUN Pengerang dan dua orang di DUN Gambir iaitu Mohd Zan Abu dan Yunos Mustakin.Sementara itu, Abdul Ghani menyeru pengundi di Gelang Patah dan di negeri ini supaya terus setia dan memberi sokongan penuh kepada BN."Pembangunan yang kita alami tumbuh dengan pesat dan akan tumbuh lebih maju dalam tempoh lima tahun akan datang. Di Johor kita berkongsi tanpa mengira kaum di bawah kerajaan yang ada, jadi kita kena pertahankan supaya hidup lebih terjamin."Jangan kita salah pilih dan pertaruhkan masa depan negara dengan pihak yang kita tidak tahu ke mana nak bawa hala tuju negara kita," katanya. - BERNAMA