SEBERANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat apabila mengabaikan nasib dan harapan pengundi di kawasannya sejak hampir 15 tahun lalu.Calon Barisan Nasional (BN), bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail berkata, keghairahan Anwar mengejar cita-cita politik untuk menjadi Perdana Menteri menyebabkan rakyat di kawasannya terpinggir apabila tiada pembangunan dibuat di kawasan berkenaan. "Perkara penting seorang Ahli Parlimen dan wakil rakyat ialah untuk bantu rakyat...itu adalah perkara asas sebelum bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri."Tapi jika pemimpin tak peduli untuk bantu rakyat, sebaliknya hanya fikir nak jadi Perdana Menteri...itu sangat salah," katanya ketika ditemui selepas bertemu penduduk di Pasar Awam Seberang Jaya di sini, Rabu.Selain itu menurut Mazlan, Anwar juga dilihat gagal memainkan peranannya sebagai wakil rakyat Permatang Pauh apabila tidak membangkitkan isu pembangunan rakyat yang diwakilinya ketika berbahas di Parlimen."Kita boleh semak dalam hansard Parlimen (penyata rasmi) sejak setahun yang lalu, berapa kali Anwar sebut tentang Permatang Pauh?"Tak ada. Ini kerana beliau tak pernah ambil kisah, beliau hanya nak jadi Perdana Menteri dan hanya bangkitkan isu-isu antarabangsa. Anwar tak penuhi tanggungjawab asas sebagai seorang wakil rakyat," katanya.Mazlan yang juga bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berhadapan saingan tiga penjuru mencabar Anwar dan seorang calon Bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin di Parlimen Permatang Pauh.Mengulas lanjut, bekas Naib Presiden Telekom Malaysia itu juga mengingatkan rakyat Permatang Pauh supaya menilai mutu kepimpinan wakil rakyat mereka selepas kerusi berkenaan diwakili pembangkang sejak 1999.Katanya rakyat perlu menggunakan peluang pada pilihan raya kali ini untuk memilih calon dan parti yang boleh membela nasib mereka untuk tempoh lima tahun akan datang."Isu pemimpin adalah sangat kritikal. Kalau rakyat Permatang Pauh silap pilih pemimpin, ia akan merugikan rakyat di sini dalam tempoh lima tahun akan datang."Masih belum terlambat untuk buat perubahan, pengundi Permatang Pauh perlu ambil peluang ini, buat pilihan yang baik mengenai siapa yang boleh berkhidmat," katanya.