suria

35 Pengganas Sulu Cuba Masuki Sabah Ditembak Mati Tentera Filipina

GEORGE TOWN: Kira-kira 35 askar militan Sulu yang cuba memasuki Sabah ditembak mati oleh tentera laut Filipina dan pengawal pantai pada Rabu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kesemua mereka ditembak sebelum dapat memasuki perairan Malaysia selepas enggan berpatah balik.

Zahid berkata, menurut laporan perisikan, kumpulan tersebut cuba memasuki Sabah untuk mencetuskan huru-hara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Jika mereka sudah memasuki perairan kita, kita akan mengusir mereka keluar. Kita akan mempertahankan negara ini," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Sementara itu di Lahad Datu, Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata Esscom telah dimaklum mengenai kejadian itu dan sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. "Meskipun kejadian ini berlaku di luar kawasan perairan kita namun matlamat kumpulan pengganas itu adalah untuk memasuki Sabah, dan mengadakan pencerobohan serta kekacauan menjelang pilihan raya umum ke 13.

"Dalam apa juga keadaannya, kita tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan kawalan keselamatan telah dipertingkat," katanya kepada Bernama.

Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas tindakan Pasukan Keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas itu, yang disifatkannya sebagai langkah wajar dalam memastikan pengganas dari negara itu tidak menyeludup masuk ke Malaysia.

Katanya, pasukan keselamatan Filipina telah memberikan kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia dalam usaha mengekang kegiatan pengganas.

Artikel Lain