suria

503,161 Pendatang Asing 'Diputihkan' Sehingga 30 November Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Seramai 503,161 pendatang tanpa izin (Pati) telah 'diputihkan' di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Warga Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) sehingga 30 November tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu daripada seramai 619,661 orang Pati yang memohon untuk diputihkan.

Dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Kluang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Zahid berkata antara sebab Pati yang gagal menjalani proses pemutihan ialah majikan gagal untuk menghadiri temu duga Proses Pemutihan, Pati gagal pemeriksaan kesihatan dan melebihi had umur bekerja (45 tahun).

Selain itu, mereka yang gagal proses tersebut juga didapati mempunyai rekod dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan, dan Pati yang memohon berada dalam kategori tanggungan (contohnya anak, suami atau isteri).

Katanya Pati yang terbanyak diputihkan ialah dari Bangladesh seramai 202,971 orang, Indonesia (201,237 orang) dan Myanmar (48,855 orang).

Pati dari India dan Nepal yang diputihkan ialah masing-masing seramai 17,551 dan 10,717 orang.

Proses pemutihan yang dilaksanakan kerajaan sejak Oktober 2011 itu bertujuan bagi membolehkan Pati bekerja di negara ini secara sah dengan majikan masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain